Dewasa kini , negara kita sering
dikejutkan dengan masalah pencemaran udara yang yang sangat teruk disebabkan
oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.
Namun demikian, terdapat juga aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku bukan
kerana mereka sengaja untuk melakukannya tetapi kerana tiada alternatif lain
untuk menjalankan aktiviti tersebut apatah lagi aktiviti yang berkaitan dengan
ekonomi sesuatu masyarakat itu sendiri. Sebagai contoh, aktiviti penanaman padi
yang dilakukan di kawasan delta Kuala Kedah merupakan salah satu aktiviti
pertanian yang menyumbang kepada sumber ekonomi negara kita. Di tambah pula
nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.
Tetapi tahukah anda aktiviti ini
adalah salah satu penyumbang kepada pencemaran udara di negara kita? Hal ini
demikian kerana sebelum aktiviti penanaman padi dijalankan, petani perlu
membersihkan kawasan sawah sebelum aktiviti penanaman dilakukan. Namun, mereka
tidak mempunyai alternatif lain selain membakar tunggul-tunggul padi tersebut
walhal keadaan ini akan menyebabkan masalah pencemaran udara yang sangat teruk
sehingga menyebabkan pencemaran udara di sepanjang lebuhraya utara-selatan.
Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan kadar penglihatan pemandu akan
berkurang. Tetapi, perkara yang menarik tentang isu ini adalah, Jabatan Alam
Sekitar (JAS) membenarkan aktiviti ini dijalankan kerana Akta Alam Sekitar 1956
telah membenarkan aktiviti pembakaran terbuka sekiranya tiada alternatif lain yang
dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Apakah itu Salji Hitam?
Berlainan pula dengan isu yang bakal
saya bincangkan iaitu mengenai masalah Salji Hitam di kawasan ladang tebu di Chuping,
Perlis. Mengapa ianya dipanggil Salji Hitam? Salji Hitam bermaksud apabila sesuatu
kawasan ladang dibakar untuk aktiviti penanaman semula, habuk-habuk daripada
proses pembakaran tersebut akan terapung-apung di udara ibarat salji yang turun
ke bumi.
Perlukah ladang tebu dibakar?
Tebu merupakan salah satu aktiviti
penanaman komersial yang dijalankan di kawasan Chuping, Perlis. Aktiviti ini
merupakan salah satu aktiviti komersial yang menyumbang kepada pendapatan
negara melalui pemprosesan gula. Namun demikian, terdapat beberapa isu telah
timbul tentang aktiviti penanaman komersial ini apabila aktiviti ini dikaitkan
dengan pencemaran udara. Hal ini demikian kerana sewaktu proses penanaman
semula tebu, ladang tersebut akan dibakar untuk proses tanam semula tebu tetapi
proses pembakaran tersebut menyebabkan pencemaran udara yang teruk. Namun
demikian, menurut sumber Utusan Malaysia 31 Januari 2012 menyatakan bahawa ‘Jabatan Alam Sekitar menyifatkan bahawa aktiviti pembakaran
terbuka ini tidak menyalahi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974’. Hal ini demikian
kerana tiada alternatif lain yang boleh dilakukan selain membakar kawasan
ladang tersebut untuk penanaman semula tebu.
Isu ini menjadi semakin hangat apabila
adanya campur tangan politik mengenai masalah pembakaran terbuka tersebut. Bagi
menangani masalah ini, kerajaan ingin menggantikan ladang tebu tersebut kepada
aktiviti penanaman getah (Utusan Malaysia 31 januari 2012). Hal ini demikian
kerana sekiranya aktiviti penanaman tebu ini masih diteruskan, kualiti udara
alam sekitar akan terjejas hari demi hari. Tetapi, adakah melalui penanaman
getah dapat menjamin kualiti udara? Adakah pencemaran udara dapat dikurangkan
walhal punca utama pencemaran udara adalah jumlah kenderaan yang semakin
meningkat serta aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal.
Dari sudut pandangan saya, aktiviti
penanaman tebu ini telah dijalankan selama 40 tahun dan tidak pernah wujud
masalah pencemaran udara. Mengapa selepas 40 tahun baru mereka menyedari bahawa
masalah ini telah menjejaskan alam sekitar sedangkan Akta Kualiti Alam Sekeliling
1974 telah menetapkan bahawa aktiviti penanaman tebu tersebut tidak menjejaskan
alam sekitar.
Isu Salji Hitam ini juga menjadi lebih
hangat apabila parti pembangkang dan penduduk setempat mula menyuarakan
pendapat mereka tentang isu penggantian aktiviti penanaman tebu kepada getah.
Mereka membantah tindakan tersebut kerana dengan bekerja di ladang tebu tersebut
merupakan punca kewangan mereka. Masalah pencemaran udara bukanlah satu alasan
yang kukuh untuk menggantikan aktiviti penanaman tersebut dengan getah. Sedar
atau tidak, negara kita satu ketika dulu pernah mengalami masalah tentang
peningkatan harga gula di pasaran sehingga menyebabkan penjual menyorok gula
tersebut supaya mendapat keuntungan yang lebih. Namun demikian, jika kita
melihat daripada sudut pemikiran kita, ladang tebu di Chuping merupakan
pengeluar utama tebu dan pemproses utama gula di Malaysia. Perkara yang bakal
berlaku adalah sekiranya aktiviti penanaman tebu tersebut digantikan dengan
getah, maka kita tidak lagi mempunyai sumber gula. Sebaliknya kita perlu
mengimport daripada negara luar dan seterusnya menyebabkan kenaikan harga gula
di pasaran. Keadaan ini akan membebankan masyarakat kita sendiri.
Secara kesimpulannya, isu alam sekitar
juga berkait rapat dengan politik. Seperti yang saya bincangkan sebentar tadi
masalah pencemaran udara yang melanda negara kita ini juga bukan berpunca
daripada kita. Malah terdapat juga aktiviti pembakaran dari negara-negara jiran
seperti Indonesia, Filipina, dan lain-lain. Satu isu yang ingin saya ketengahkan
di sini adalah mengenai masalah pembakaran terbuka di kawasan Sumatera, Indonesia.
Tahukah anda kawasan pembakaran tersebut adalah kawasan ladang kelapa sawit
milik Tabung Haji dan merupakan kawasan ladang sawit milik negara kita sendiri.
Tetapi mengapa soal pemilikan kawasan ladang tersebut tidak dipersoalkan bahkan
masalah pencemaran yang berlaku di negara kita tidaklah seteruk yang berlaku di
kawasan Indonesia tersebut. Namun, ia tetap menjadi satu permasalahan yang
besar.
Secara amnya, masalah pencemaran udara
yang berpunca daripada aktiviti pertanian komersial bukanlah suatu masalah yang
besar dan tidak perlu didebatkan bahkan kita sebagai generasi yang maju perlu
memikirkan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah tersebut berbanding
menjadikan ia satu perdebatan yang bakal menyusahkan generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment