Selamat Datang ke Laman Blog Suara Alam
Teknologi Untuk Alam Sekitar: Isu Tebus Guna Tanah di Bayan Mutiara, Pulau Pinang.

Monday, 26 November 2012

Isu Tebus Guna Tanah di Bayan Mutiara, Pulau Pinang.


Tanah ialah satu keperluan yang penting bagi manusia. Kekosongan tanah yang tidak diterokai di negeri Pulau Pinang amat terhad. Oleh itu, tebus guna tanah amat digalakkan oleh kerajaan Pulau Pinang. Malangnya, terbitan tentang isu-isu tebus guna di akhbar-akhbar harian amat membimbangkan, yang didapati hanya tajuk-tajuk yang sedemikian:
       Guan Eng harus beri penjelasan penjualan tanah Bayan Mutiara (Berita Harian); Tapak masjid: Pemenang tunggu penjelasan Guan Eng (Utusan Online).
Berdasarkan tajuk di atas, kita boleh dapati bahawa fokus media terhadap isu-isu tebus guna tanah bukan sekadar tentang kepentingan dan kegunaannya terhadap masyarakat dan alam sekitar. Sebaliknya, fokusnya ialah kepada siapa yang akan memilikinya.
Apakah cerita sebenarnya tentang tanah Bayan Mutiara sehingga melibatkan parti politik untuk campur tangan dalam isu ini? 


Apakah keistimewaan Bayan Mutiara sehingga menjadi perebutan dua parti politik?
Berdekatan dengan:
  1. Jambatan Pulau Pinang.
  2. Zon Perdagangan Bebas Pulau Pinang.
  3. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Mengikut pelaporan media mainstream.
  1. Penjualan tanah yang seluas 41.6 hektar ini  kepada syarikat Ivory Properties Group Berhad ( RM1.1 bilion) dikatakan tidak rasional dengan cara yang tidak telus (tender terbuka).
  2. Penang Development Corporation (PDC) yang merupakan pemilik tanah mempunyai kepakaran serta pengalaman sepatutnya membangunkan tanah Bayan Mutiara.
  3. Jika tanah itu dimajukan secara berperingkat, dipercayai harganya akan melambung sehingga RM10 bilion tetapi kerajaan telah menjualnya dengan harga RM1.1 bilion.
  4. Membolehkan syarikat berkenaan untuk membayar secara berperingkat sehingga lima tahun.
  5. Tercetusnya isu penswastaan Penang Port. 

Menurut pelaporan media Alternatif:
  1. Apabila tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar (67.5 ekar tanah dan 35 ekar tanah tebus guna melalui tambak laut) dijual melalui tender terbuka pada tahun 2010, harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi telah ditetapkan.
  2. Harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi ini telah ditetapkan oleh kerajaan negeri pada 7 April 2010 sungguhpun Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan pada 5 November 2009 menganggarkan harga penilaian adalah sebanyak RM65 kaki persegi.
  3. Apabila tender terbuka yang dijalankan ditutup pada 31.12.2010, harga tender terbuka yang paling tinggi adalah sebanyak RM240 kaki persegi atau RM1.07 bilion.

Apakah sebenarnya tebus guna tanah? Mengapakah masalah ini menjadi rumit?

            Sebenarnya tebus guna tanah merupakan satu aktiviti menjadikan tanah yang terbiar kepada tanah yang produktif supaya tidak membazirkan sumber-sumber yang ada.

         Bukan semua kawasan sesuai untuk ditebus guna, sebaliknya kawasan-kawasan seperti bekas perlombongan, tanah paya atau persisiran pantai seperti Pulau Pinang. Aktiviti tebus guna tanah adalah penting sebagai satu alternatif bagi menyediakan bekalan bank tanah yang cukup untuk tujuan pembangunan dan memenuhi permintaan tanah yang tinggi khususnya di Pulau Pinang.

 Sebagai contohnya, pada tahun 2000, seluas 446 hektar kawasan di selatan jabatan di sepanjang pesisir Pantai Timur Pulau hingga ke Bayan Baru dan Batu Maung telah ditambak untuk tujuan perdagangan (Bayan Bay).

Di sebalik kebaikan…..?

            Aktiviti tebus guna tanah juga membawa kesan negatif terhadap alam sekitar seperti pencemaran udara, bunyi dan air. Dalam proses penebusan tanah, banyak jentera digunakan untuk menanamkan cerucuk-cerucuk besi di dalam tanah serta aktiviti-aktiviti pembinaan yang lain juga turut menyumbang kepada pencemaran bunyi. 


           Pada hakikatnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling mengehadkan maksimum yang dibenarkan bagi kawasan Bandar yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi adalah 65 desibel (dBA) untuk waktu siang dan 60 dBA untuk waktu malam.

          Selain itu, hakisan pantai dan kemusnahan sumber alam sekitar juga terjadi apabila penambakan laut (seperti Bayan Mutiara) dijalankan.

           Projek penambakan memerlukan bahan timbus (lazimnya pasir) dan proses pengorekan bahan timbus tersebut.

           Pasir laut dikorek dan kemudian dipindahkan ke tempat penambakan untuk kerja-kerja penimbusan. Bagaimana pula hidupan marin dalam laut selepas “rumah” ditimbus? Sebagai contoh, pihak Singapura mengambil pasir dari Malaysia atau Indonesia, diangkut dan kemudiannya ditimbus di Pulau Tekong. Menurut Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL), Prof. Dr. Abdul Aziz Ibrahim, kerja pengorekan pasir laut di lokasi yang sensitif (dari sudut perikanan) akan mendatangkan kesan negatif.

            Kerja penambakan di lokasi yang sensitif contohnya di kawasan bakau, berhampiran pelabuhan juga mendatangkan masalah. Penambakan laut menyebabkan kematian hidupan marin secara besar-besaran, seterusnya mengganggu ekologi semula jadi.

Adakah isu ini berlaku tanpa sebab tertentu?

         Tiada satu isu berlaku semata-mata tanpa sebab yang tertentu. Konteksnya harus diambil kira pengajian sesuatu isu, supaya kesimpulan yang cetek dan tidak rasional dapat dielakkan.

            Sangat dukacita bahawa kesan negatif isu tebus guna tanah Bayan Mutiara terhadap alam sekitar bukanlah topik penting yang harus diutamakan dalam berita dan laporan dari media seperti surat khabar, laman web, radio dan televisyen. Malah apa yang diberi keutamaan daripada pihak media ialah tentang siapakah pemilik tanah tersebut dan bagaimanakah pemilik itu mengendalikan tanah tersebut? Oleh itu, dari sini kita dapat melihat siapa yang memiliki teknologi komunikasi maka teknologi ini akan dijadikan alat baginya untuk kepentingan individu-individu tertentu. 

Sumber

1. Utusan Malaysia Online

2. Berita Harian
3. Sinar Harian
4. Tesis UTM
5. Merdekareview
6. Mutiara








Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

No comments:

Post a Comment