Selamat Datang ke Laman Blog Suara Alam
Teknologi Untuk Alam Sekitar: Perbandingan Laporan Akhbar Utusan Malaysia Online dengan akhbar Harakah Tentang Isu Penapis Air 1Malaysia.

Wednesday 28 November 2012

Perbandingan Laporan Akhbar Utusan Malaysia Online dengan akhbar Harakah Tentang Isu Penapis Air 1Malaysia.


Bilakah Bermulanya Isu Bekalan Air Kotor?

Isu air di negeri Kelantan telah bangkit sejak beberapa tahun yang lalu. Bekalan air yang tidak sistematik bukan sahaja berlaku di Kuala Krai, malah turut terjadi di beberapa buah daerah lain seperti Tumpat, Pasir Mas, Machang, Bachok, dan lain-lain. Masalah yang telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu ini telah menimbulkan kebimbangan penduduk setempat. Hal ini kerana bekalan air merupakan salah satu sumber yang paling penting bagi mereka. Pelbagai aduan telah diutarakan oleh rakyat berkenaan dengan masalah ini. 


Penapis Air 1Malaysia Satu Penyelesaian?

Bagi membantu penduduk mengatasi masalah air yang berlaku, pihak kerajaan pusat telah membuat satu inisiatif dengan melaksanakan Projek Penapis Air 1Malaysia yang telah diluluskan pada 27 Ogos 2012. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah menerima permohonan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK). Dengan itu, beliau telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 Juta bagi menyediakan penapis air untuk membolehkan orang ramai terutamanya di kawasan bermasalah mendapatkan bekalan air lebih bersih dan berkualiti.

Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut meluluskan peruntukan RM2.5 Juta bagi membekalkan penapis air kepada kira-kira 500 buah sekolah di Kelantan yang dikatakan turut berdepan dengan masalah air kotor.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, alat penapis air tersebut telah dipasang di beberapa buah kawasan yang mengalami krisis bekalan air kotor. Antaranya di Kampung Tok La dan Kubang Bemban di Pasir Mas dan Kampung Kuala Jambu, Kampung Derdap, dan Kampung Tualang di Tumpat.



Penapis Air 1Malaysia Bermasalah?

            Walau bagaimanapun, pelaksanaan Projek Penapis Air 1Malaysia ini telah diberikan kritikan oleh sesetengah pihak di negeri Kelantan melalui akhbar alternatif Harakah yang diterbitkan pada 6 September 2012. Menurut akhbar alternatif tersebut, biarpun sebelum ini rakyat Kelantan di kawasan yang dikenal pasti menghadapi masalah tekanan rendah kini menerima tambahan bekalan air melalui projek berkenaan, namun terdapat isu lain yang tidak diketahui oleh umum. Isu yang dimaksudkan adalah tentang kajian makmal yang dijalankan terhadap sampel air di Kampung Derdap, Tumpat didapati banyak yang tidak menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Antara yang dikemukakan ialah ujian pH dikatakan gagal di mana keputusan mendapati bahawa 6.050 sedangkan standard yang ditetapkan adalah 6.5.

Selain itu, ujian baki klorin juga didapati gagal di mana hasil yang diperoleh adalah 0.01 mg/l sedangkan piawaian yang ditetapkan oleh SPAN adalah tidak kurang daripada 0.2 mg/l. Di samping itu, kandungan besi juga gagal menepati ketetapan SPAN apabila ujian mendapati terdapat 0.62 mg/l dalam sampel air sedangkan sepatutnya tidak melebihi 0.3 mg/l. Perkara paling membimbangkan yang didapati daripada kajian tersebut ialah ujian kandungan coliform didapati melebihi 200 cfu/100ml sedangkan sepatutnya tiada bahan tersebut. Begitu juga dengan ujian kandungan e.Coli didapati terdapat sebanyak 4 cfu/100ml sedangkan yang sepatutnya adalah sebanyak 0 cfu/100ml.

Meskipun pelbagai dakwaan kurang menyenangkan telah diutarakan oleh sesetengah pihak di Kelantan melalui akhbar alternatif tersebut, namun dakwaan ini telah dinafikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Menurut akhbar Utusan Malaysia, jabatan tersebut telah mengesahkan sampel air yang diproses menggunakan penapis berkenaan adalah bebas daripada sebarang bakteria berbahaya. Laporan yang dibuat oleh akhbar tersebut mengenai penyangkalan terhadap isu air berkuman ini kurang memuaskan memandangkan pihak akhbar ini tidak menerangkan dengan lebih terperinci tentang komen yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Berbanding dengan akhbar alternatif Harakah, akhbar tersebut ada memberi penjelasan yang mendalam tentang kajian makmal yang dijalankan terhadap sampel air. 



Isu Penapis Air 1Malaysia Satu Permainan Politik?

Selain itu, akhbar alternatif Harakah juga ada mendakwa bahawa Projek Penapis Air 1Malaysia di Padang Tok La difahamkan akan dibina berhampiran rumah Ketua UMNO Pasir Mas, Dato’ Hanafi Mamat. Menurut akhbar itu lagi, meskipun projek berkenaan di bawah peruntukkan kerajaan pusat iaitu sebanyak RM 2 juta, namun perkara ini mempunyai kaitan secara langsung dengan United Malays National Organization atau lebih dikenali sebagai UMNO. Walau bagaimanapun, menurut akhbar Utusan Malaysia pula, presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Azmi Ali telah menidakkan dakwaan kononnya alat penapisan air tersebut dipasang berhampiran rumah pemimpin UMNO tersebut. Hal ini kerana pemasangan alat penapis air tersebut adalah berdasarkan kepada lokasi yang mempunyai sumber bekalan air kekal.

Sumber.

2. Akhbar alternatif Harakah. 3-6 September 2012.







Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

No comments:

Post a Comment