Selamat Datang ke Laman Blog Suara Alam
Teknologi Untuk Alam Sekitar: Pelaporan Isu Alam Sekitar: Pembinaan Kilang Nadir Bumi LYNAS.

Wednesday 28 November 2012

Pelaporan Isu Alam Sekitar: Pembinaan Kilang Nadir Bumi LYNAS.


Pengertian mengenai Lynas.

            Entri kali ini memaparkan satu isu yang sedang hangat diperkatakan media iaitu isu loji pembinaan kilang nadir bumi Lynas Advanced Materials Plants (LAMP). Seperti yang kita tahu pembinaan kilang Lynas ini telah menimbulkan spekulasi dan percanggahan idea. Jadi, entri ini adalah untuk melihat sejauh manakah pembinaan kilang Lynas ini memberi manfaat dan mudarat kepada masyarakat sekeliling.

            Sebelum kita menelusuri lebih jauh lagi, elok rasanya kalau kita membuka minda sejenak dalam mendefinisikan nadir bumi. Nadir bumi adalah salah satu daripada hasil bumi yang terletak dalam kumpulan Lanthanides. Kehebatan seperti adanya sistem infrastruktur bermutu seperti bekalan gas, wap, air dan elektrik telah menyebabkan Pahang dipilih sebagai tapak tumpuan pelaburan Lynas Advanced Materials Plants (LAMP).


Manfaat Pembinaan Kilang Nadir Bumi Lynas.

Pembinaan kilang Lynas ini dikatakan dapat menyumbang kepada ekonomi negara dan sekali gus dapat membuka peluang perniagaan dan pekerjaan. Melalui Utusan Online, Kilang Lynas ini dikatakan dapat menawarkan pekerjaan kepada lebih 2,000 orang sekali gus dapat merancakkan aktiviti setempat. Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad menyatakan bahawa pada permulaan, Lynas telah mengambil 350 pekerja yang terdiri daripada 75 siswazah teknikal, 15 bukan teknikal dan 260 tenaga mahir dan separuh mahir. Selain itu, ia juga turut mengambil 250 pekerja kontrak yang mana dikatakan sebagai kumpulan sokongan kepada syarikat ini. Pada masa yang sama, kilang Lynas ini turut menyediakan peluang perniagaan untuk kontraktor dan pembekal tempatan.

            Pada fasa pertama pembinaan kilang nadir bumi ini, pihaknya mengeluarkan modal pelaburan sebanyak RM 1.39 bilion dengan RM 618 juta telah dibelanjakan di Malaysia termasuk memberi projek kepada kontraktor di Kuantan sebanyak RM 235 juta. Pada fasa kedua pula, pelaburan yang dikeluarkan adalah sebanyak RM 700 juta yang mana separuh daripadanya akan dibelanjakan di Malaysia. Pelaburan yang dikeluarkan ini dapat menguntungkan orang ramai dan dapat meningkatkan ekonomi Pahang dan Malaysia.

Apakah dampaknya jika berlaku kebocoran radioaktif?

Jika berlaku kebocoran radioaktif di Gebeng Kuantan, ia akan memberi ancaman kepada syarikat yang berdekatan loji pembinaan kilang nadir bumi Lynas seperti Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals seperti kerugian yang besar sekiranya operasi mereka terganggu dengan masalah kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka.

Kilang Lynas ini memberi  ancaman kepada sisa radioaktif. Ini berlaku mungkin disebabkan kilang ini diapit oleh polyplastic dan projek Fasa 1 Kluster Industri minyak kelapa sawit. Rare Earth kaya dengan bahan mineral seperti monazite yang juga merupakan bahan radioaktif. Monazite  mengandungi thorium, cerium dan lanthanum. Keadaan ini memberi  kesan kepada penduduk sekitarnya seperti leukemia, kecacatan, kanser dan sebagainya. Sebagai contoh, Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan ‘rare earth’ di Bukit Merah dikaitkan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kes kematian.



 Lynas adalah penyumbang manfaat atau sebaliknya?

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang menyatakan bahawa kilang Lynas ini bukan kilang radioaktif sebaliknya kilang kimia. Selain itu, Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Ismail Bahari turut mengulas bahawa melalui kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa radiasi hanya membahayakan manusia apabila melebihi paras tertentu dengan 100mSv yang mana boleh menyebabkan penyakit kanser tetapi pendedahan radiasi kepada orang awam melalui operasi Lynas adalah sebanyak 0.002mSv setahun. Menurut Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Sallah, projek nadir bumi berpotensi membawa bencana, merosakkan kesihatan manusia dalam jangka masa panjang dan menjejaskan persekitaran seterusnya memberi impak negatif kepada ekonomi negara. Persoalannya, kenapa berlakunya percanggahan idea seperti ini? 



Secara tuntasnya, loji pemprosesan nadir bumi Lynas ini mungkin membawa keuntungan kepada negara, namun kita harus sedar bahawa jika berlaku kebocoran radioaktif ia akan menjejaskan kesihatan. Untuk itu, pihak yang berkenaan perlu menyelesaikan isu ini sama ada ia memberi manfaat atau sebaliknya kepada rakyat dan negara.

Sumber




Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

No comments:

Post a Comment