Selamat Datang ke Laman Blog Suara Alam
Teknologi Untuk Alam Sekitar

Wednesday, 28 November 2012

Isu Jerebu Di Pulau Pinang




Konsep Jerebu        
 
            Jerebu merupakan satu keadaan di mana partikel-partikel terampai yang terdapat di atmosfera bumi seperti gas-gas, debu, habuk, dan zarah yang berada di dalam keadaan udara kering. Pada amnya, fenomena jerebu ini juga berlaku adalah berpunca daripada pencemaran udara. Di Malaysia, tahap kualiti udara ditunjukkan oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Bagaimana Indeks Pencemaran Udara (IPU) dinilai?

Nilai IPU dikira berdasarkan kepekatan purata setiap pencemar udara iaitu SO2, NO2, CO, O3 dan PM10. Pencemar udara yang dominan dengan kepekatan tertinggi diambil kira sebagai pencemar yang akan menentukan nilai IPU. Pada lazimnya, kepekatan habuk halus (PM10) adalah yang tertinggi berbanding dengan pencemar yang lain dan ini menentukan bacaan IPU.

            Walau bagaimanapun, tidak semua tempat di Malaysia mengalami masalah jerebu dan hanya kawasan-kawasan bandar sahaja yang mengalami masalah ini seperti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Punca-punca Timbulnya Masalah Jerebu.

            Mengapakah Pulau Pinang sering dilanda masalah jerebu? Adakah ianya berpunca daripada sikap manusia, aktiviti pengangkutan atau kegiatan perindustrian? Saya akan kupas dengan lebih lanjut lagi di sini tentang masalah jerebu yang dihadapi oleh negeri Pulau Pinang.


Keadaan jerebu di Georgetown

Mengapakah jerebu boleh berlaku?          

            Seperti yang kita semua tahu, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan sektor perindustrian. Oleh itu, tidak hairanlah apabila terlalu banyak kilang yang dapat kita lihat di sekitar negeri ini. Betulkah seperti yang dikhabarkan bahawa kilang-kilang ini merupakan penyebab berlakunya masalah jerebu?
            Berdasarkan artikel daripada akhbar harian Metro yang bertarikh 11 November 2012 (Ahad), jerebu yang berlaku di Pulau Pinang adalah ekoran daripada aktiviti pembakaran terbuka. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata, Pulau Pinang dilanda jerebu tahap sederhana dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sekitar 69 hingga 84 hari kejadian. Phee di dalam artikel ini juga berkata pihaknya juga akan melakukan pemantauan dengan memastikan tiada pihak yang akan melakukan pembakaran terbuka dan kilang industri tidak mengeluarkan asap berlebihan.

            Selain itu, kenderaan yang banyak di kawasan Pulau Pinang juga telah menjadi faktor yang mendorong kepada terjadinya fenomena jerebu ini. Asap yang dikeluarkan  oleh kenderaan telah menjadi faktor utama meningkatnya bacaan IPU di kawasan Pulau Pinang. Selain dari faktor kenderaan, asap yang dibebaskan oleh kilang-kilang di sekitar Pulau Pinang juga turut sama-sama menjadi penyumbang besar terhadap masalah jerebu di sini.

Impak Jerebu.

            Apabila jerebu melanda negeri Pulau Pinang, maka jumlah kedatangan pelancong yang datang ke negeri ini akan berkurangan kerana keadaan ini akan mendatangkan penyakit kepada pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Pinang. Oleh itu, ekonomi juga akan terjejas apabila tidak ramai pelancong asing yang datang ke negeri ini.

            Di samping itu, jarak penglihatan kita akan menjadi kabur apabila jerebu melanda dengan teruk di sesebuah kawasan. Penglihatan yang terhad dan kabur juga boleh mengundang pelbagai kemalangan ngeri tidak kiralah sama ada kemalangan di darat, udara, mahupun air.


Keadaan jerebu di Jambatan Pulau Pinang


Peranan Kerajaan 
  
            Terdapat dua agensi pusat yang terlibat secara terus dengan hal-hal berkaitan jerebu iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM). Tugas JMM adalah untuk memonitor keadaan atmosfera berhubung dengan cuaca di samping beberapa parameter yang berkaitan dengan kualiti udara ambien. Parameter cuaca lain seperti ketampakan mengufuk, kelembapan bandingan dan halaju angin merupakan petunjuk penting dalam memahami fenomena jerebu dan meramal kejadian dan kehilangannya. Aktiviti pemonitoran dan penyelidikan yang dijalankan oleh JMM merupakan sebahagian daripada usaha negara dalam mengawal dan mengurangkan jerebu.

Kesimpulan

            Secara konklusinya, fenomena jerebu boleh dikurangkan dengan kerjasama dari semua pihak termasuklah masyarakat setempat, kerajaan, dan badan-badan berkaitan. Tanpa kerjasama dari semua sudah pastinya kita tidak akan dapat menangani masalah jerebu ini. 

Sumber






Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

Permainan Politik Melalui Media Mengenai Alam Sekitar.


Dewasa kini , negara kita sering dikejutkan dengan masalah pencemaran udara yang yang sangat teruk disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Namun demikian, terdapat juga aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku bukan kerana mereka sengaja untuk melakukannya tetapi kerana tiada alternatif lain untuk menjalankan aktiviti tersebut apatah lagi aktiviti yang berkaitan dengan ekonomi sesuatu masyarakat itu sendiri. Sebagai contoh, aktiviti penanaman padi yang dilakukan di kawasan delta Kuala Kedah merupakan salah satu aktiviti pertanian yang menyumbang kepada sumber ekonomi negara kita. Di tambah pula nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

Tetapi tahukah anda aktiviti ini adalah salah satu penyumbang kepada pencemaran udara di negara kita? Hal ini demikian kerana sebelum aktiviti penanaman padi dijalankan, petani perlu membersihkan kawasan sawah sebelum aktiviti penanaman dilakukan. Namun, mereka tidak mempunyai alternatif lain selain membakar tunggul-tunggul padi tersebut walhal keadaan ini akan menyebabkan masalah pencemaran udara yang sangat teruk sehingga menyebabkan pencemaran udara di sepanjang lebuhraya utara-selatan. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan kadar penglihatan pemandu akan berkurang. Tetapi, perkara yang menarik tentang isu ini adalah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) membenarkan aktiviti ini dijalankan kerana Akta Alam Sekitar 1956 telah membenarkan aktiviti pembakaran terbuka sekiranya tiada alternatif lain yang dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Apakah itu Salji Hitam?

Berlainan pula dengan isu yang bakal saya bincangkan iaitu mengenai masalah Salji Hitam di kawasan ladang tebu di Chuping, Perlis. Mengapa ianya dipanggil Salji Hitam? Salji Hitam bermaksud apabila sesuatu kawasan ladang dibakar untuk aktiviti penanaman semula, habuk-habuk daripada proses pembakaran tersebut akan terapung-apung di udara ibarat salji yang turun ke bumi.

Perlukah ladang tebu dibakar?

Tebu merupakan salah satu aktiviti penanaman komersial yang dijalankan di kawasan Chuping, Perlis. Aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti komersial yang menyumbang kepada pendapatan negara melalui pemprosesan gula. Namun demikian, terdapat beberapa isu telah timbul tentang aktiviti penanaman komersial ini apabila aktiviti ini dikaitkan dengan pencemaran udara. Hal ini demikian kerana sewaktu proses penanaman semula tebu, ladang tersebut akan dibakar untuk proses tanam semula tebu tetapi proses pembakaran tersebut menyebabkan pencemaran udara yang teruk. Namun demikian, menurut sumber Utusan Malaysia 31 Januari 2012 menyatakan bahawa ‘Jabatan Alam Sekitar  menyifatkan bahawa aktiviti pembakaran terbuka ini tidak menyalahi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974’. Hal ini demikian kerana tiada alternatif lain yang boleh dilakukan selain membakar kawasan ladang tersebut untuk penanaman semula tebu.

Isu ini menjadi semakin hangat apabila adanya campur tangan politik mengenai masalah pembakaran terbuka tersebut. Bagi menangani masalah ini, kerajaan ingin menggantikan ladang tebu tersebut kepada aktiviti penanaman getah (Utusan Malaysia 31 januari 2012). Hal ini demikian kerana sekiranya aktiviti penanaman tebu ini masih diteruskan, kualiti udara alam sekitar akan terjejas hari demi hari. Tetapi, adakah melalui penanaman getah dapat menjamin kualiti udara? Adakah pencemaran udara dapat dikurangkan walhal punca utama pencemaran udara adalah jumlah kenderaan yang semakin meningkat serta aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal.

Dari sudut pandangan saya, aktiviti penanaman tebu ini telah dijalankan selama 40 tahun dan tidak pernah wujud masalah pencemaran udara. Mengapa selepas 40 tahun baru mereka menyedari bahawa masalah ini telah menjejaskan alam sekitar sedangkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah menetapkan bahawa aktiviti penanaman tebu tersebut tidak menjejaskan alam sekitar.

Isu Salji Hitam ini juga menjadi lebih hangat apabila parti pembangkang dan penduduk setempat mula menyuarakan pendapat mereka tentang isu penggantian aktiviti penanaman tebu kepada getah. Mereka membantah tindakan tersebut kerana dengan bekerja di ladang tebu tersebut merupakan punca kewangan mereka. Masalah pencemaran udara bukanlah satu alasan yang kukuh untuk menggantikan aktiviti penanaman tersebut dengan getah. Sedar atau tidak, negara kita satu ketika dulu pernah mengalami masalah tentang peningkatan harga gula di pasaran sehingga menyebabkan penjual menyorok gula tersebut supaya mendapat keuntungan yang lebih. Namun demikian, jika kita melihat daripada sudut pemikiran kita, ladang tebu di Chuping merupakan pengeluar utama tebu dan pemproses utama gula di Malaysia. Perkara yang bakal berlaku adalah sekiranya aktiviti penanaman tebu tersebut digantikan dengan getah, maka kita tidak lagi mempunyai sumber gula. Sebaliknya kita perlu mengimport daripada negara luar dan seterusnya menyebabkan kenaikan harga gula di pasaran. Keadaan ini akan membebankan masyarakat kita sendiri.

Secara kesimpulannya, isu alam sekitar juga berkait rapat dengan politik. Seperti yang saya bincangkan sebentar tadi masalah pencemaran udara yang melanda negara kita ini juga bukan berpunca daripada kita. Malah terdapat juga aktiviti pembakaran dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, dan lain-lain. Satu isu yang ingin saya ketengahkan di sini adalah mengenai masalah pembakaran terbuka di kawasan Sumatera, Indonesia. Tahukah anda kawasan pembakaran tersebut adalah kawasan ladang kelapa sawit milik Tabung Haji dan merupakan kawasan ladang sawit milik negara kita sendiri. Tetapi mengapa soal pemilikan kawasan ladang tersebut tidak dipersoalkan bahkan masalah pencemaran yang berlaku di negara kita tidaklah seteruk yang berlaku di kawasan Indonesia tersebut. Namun, ia tetap menjadi satu permasalahan yang besar.

Secara amnya, masalah pencemaran udara yang berpunca daripada aktiviti pertanian komersial bukanlah suatu masalah yang besar dan tidak perlu didebatkan bahkan kita sebagai generasi yang maju perlu memikirkan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah tersebut berbanding menjadikan ia satu perdebatan yang bakal menyusahkan generasi akan datang.







Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

Perbandingan Isi Kandungan Akhbar Utusan Malaysia dengan Suara Keadilan Mengenai Isu Marin iaitu Penubuhan Taman Tema Laut.


Definisi Taman Laut.

Taman laut merupakan satu kawasan perairan laut yang mana jarak daripada darat adalah sebanyak 2 batu nautika daripada paras laut. Taman laut wujud ekoran daripada kesedaran mengalami kekurangan sumber perikanan dari laut yang mana jumlah keluaran hasil laut mengalami penyusutan. Menyedari hakikat ini, bekas Perdana Menteri Malaysia Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mewujudkan taman tema laut di negara ini melalui Kementerian Pertanian (Jabatan Perikanan) pada tahun 1994. Menerusi penubuhan ini sebanyak 40 buah pulau di seluruh Malaysia berjaya digezetkan sebagai taman laut.

Selain daripada itu, tujuan penubuhan taman laut adalah untuk melindungi, memulihara dan menguruskan secara berterusan ekosistem marin terutamanya terumbu karang serta flora dan fauna yang ada di laut yang sememangnya memainkan peranan utama dalam kestabilan lautan secara menyeluruh. Hal ini demikian supaya ekosistem marin ini akan sentiasa terpelihara daripada gangguan dan kerosakan dan dapat diwarisi untuk generasi yang akan datang. Tujuan penubuhan taman laut juga adalah untuk memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia tentang peri pentingnya penubuhan taman laut agar masyarakat bersama-sama melindungi, mengagumi dan menikmati keindahan khazanah negara.






Taman Laut Menyumbang Manfaat?

          Kewujudan taman laut, banyak memberi manfaat kepada kehidupan terutamanya manusia yang  mana dengan adanya hasil dari laut ia dapat memberikan sumber makan kepada manusia. Selain daripada itu kewujudan taman laut juga akan memberi sumber perikanan melalui program biodiversiti terhadap flora dan fauna dalam laut. Tambahan pula, kewujudan taman laut dapat memberi galakan kepada penyelidik untuk menjalankan kajian. Pada masa yang sama kewujudan taman laut juga dapat mengekalkan sumber lautan terutamanya batu karang yang mana menjadi asas kepada daya tarikan pengunjung bagi melawat kawasan taman laut sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.


Pelaporan yang Dibuat oleh Media Mainstream.

Dalam akhbar Utusan Malaysia ada melaporkan tentang penubuhan taman laut. Penubuhan taman tema laut ini bertujuan untuk memulihara kepelbagaian habitat dan kehidupan laut. Hal ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada generasi yang akan datang. Pemeliharaan biodiversiti marin dilakukan pada tahun 1983 hasil daripada buah fikiran perdana menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Sebanyak 42 buah pulau telah diwartakan sebagai taman laut yang melibatkan kawasan perairan Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan wilayah persekutuan Labuan. Pewartaan taman laut ini bertujuan untuk mengekalkan keunikan habitat marin seperti terumbu karang, rumpai laut dan hutan bakau.

Pada tahun 2006, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan perlindungan marin di bawah penyelenggaraan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTKM) yang ditubuhkan pada tahun 2007. Selain itu juga, biodiversiti marin di kawasan taman laut akan terus terpelihara bagi menjana ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan melalui penyediaan peluang pekerjaan.

Pelaporan yang Dibuat Oleh Media Alternatif.

           Media alternatif  iaitu akhbar Suara Keadilan ada melaporkan mengenai bantahan nelayan yang tinggal di Labuan terhadap penubuhan taman laut. Seramai 200 orang nelayan dilaporkan telah membantah pewartaan taman laut yang melibatkan Pulau Kuraman, rusukan kecil dan rusukan besar. Hal ini kerana penubuhan taman laut tersebut akan menjejaskan kehidupan mereka yang mana meliputi keluasan seluas 10 km persegi. Di bawah akta taman tema laut, sebarang operasi penangkapan ikan tidak dibenarkan. Selain itu, penduduk mendakwa kebebasan mereka disekat dan hasil pendapatan bulanan mereka menurun daripada RM 3000 kepada RM 1000. 

             Selain itu juga nelayan di  kawasan itu turut berasa kecewa dengan menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kerana tidak membela nasib mereka. Menurut seorang ketua pemuda UMNO kawasan Labuan, beliau bertindak berhenti daripada aktif dalam parti akibat rasa tidak puas hati dengan sikap pemimpin UMNO yang mengambil sikap acuh tak acuh terhadap kebajikan mereka dan mendakwa kerajaan hanyalah mementingkan diri sendiri. Selain itu, ketua PKR labuh turut bersuara agar Akta Perikanan 1985 perlu diberi perhatian semula agar kebajikan rakyat terbela.


Sumber:










Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

Perbandingan Laporan Akhbar Utusan Malaysia Online dengan akhbar Harakah Tentang Isu Penapis Air 1Malaysia.


Bilakah Bermulanya Isu Bekalan Air Kotor?

Isu air di negeri Kelantan telah bangkit sejak beberapa tahun yang lalu. Bekalan air yang tidak sistematik bukan sahaja berlaku di Kuala Krai, malah turut terjadi di beberapa buah daerah lain seperti Tumpat, Pasir Mas, Machang, Bachok, dan lain-lain. Masalah yang telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu ini telah menimbulkan kebimbangan penduduk setempat. Hal ini kerana bekalan air merupakan salah satu sumber yang paling penting bagi mereka. Pelbagai aduan telah diutarakan oleh rakyat berkenaan dengan masalah ini. 


Penapis Air 1Malaysia Satu Penyelesaian?

Bagi membantu penduduk mengatasi masalah air yang berlaku, pihak kerajaan pusat telah membuat satu inisiatif dengan melaksanakan Projek Penapis Air 1Malaysia yang telah diluluskan pada 27 Ogos 2012. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah menerima permohonan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK). Dengan itu, beliau telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 Juta bagi menyediakan penapis air untuk membolehkan orang ramai terutamanya di kawasan bermasalah mendapatkan bekalan air lebih bersih dan berkualiti.

Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut meluluskan peruntukan RM2.5 Juta bagi membekalkan penapis air kepada kira-kira 500 buah sekolah di Kelantan yang dikatakan turut berdepan dengan masalah air kotor.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, alat penapis air tersebut telah dipasang di beberapa buah kawasan yang mengalami krisis bekalan air kotor. Antaranya di Kampung Tok La dan Kubang Bemban di Pasir Mas dan Kampung Kuala Jambu, Kampung Derdap, dan Kampung Tualang di Tumpat.



Penapis Air 1Malaysia Bermasalah?

            Walau bagaimanapun, pelaksanaan Projek Penapis Air 1Malaysia ini telah diberikan kritikan oleh sesetengah pihak di negeri Kelantan melalui akhbar alternatif Harakah yang diterbitkan pada 6 September 2012. Menurut akhbar alternatif tersebut, biarpun sebelum ini rakyat Kelantan di kawasan yang dikenal pasti menghadapi masalah tekanan rendah kini menerima tambahan bekalan air melalui projek berkenaan, namun terdapat isu lain yang tidak diketahui oleh umum. Isu yang dimaksudkan adalah tentang kajian makmal yang dijalankan terhadap sampel air di Kampung Derdap, Tumpat didapati banyak yang tidak menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Antara yang dikemukakan ialah ujian pH dikatakan gagal di mana keputusan mendapati bahawa 6.050 sedangkan standard yang ditetapkan adalah 6.5.

Selain itu, ujian baki klorin juga didapati gagal di mana hasil yang diperoleh adalah 0.01 mg/l sedangkan piawaian yang ditetapkan oleh SPAN adalah tidak kurang daripada 0.2 mg/l. Di samping itu, kandungan besi juga gagal menepati ketetapan SPAN apabila ujian mendapati terdapat 0.62 mg/l dalam sampel air sedangkan sepatutnya tidak melebihi 0.3 mg/l. Perkara paling membimbangkan yang didapati daripada kajian tersebut ialah ujian kandungan coliform didapati melebihi 200 cfu/100ml sedangkan sepatutnya tiada bahan tersebut. Begitu juga dengan ujian kandungan e.Coli didapati terdapat sebanyak 4 cfu/100ml sedangkan yang sepatutnya adalah sebanyak 0 cfu/100ml.

Meskipun pelbagai dakwaan kurang menyenangkan telah diutarakan oleh sesetengah pihak di Kelantan melalui akhbar alternatif tersebut, namun dakwaan ini telah dinafikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Menurut akhbar Utusan Malaysia, jabatan tersebut telah mengesahkan sampel air yang diproses menggunakan penapis berkenaan adalah bebas daripada sebarang bakteria berbahaya. Laporan yang dibuat oleh akhbar tersebut mengenai penyangkalan terhadap isu air berkuman ini kurang memuaskan memandangkan pihak akhbar ini tidak menerangkan dengan lebih terperinci tentang komen yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Berbanding dengan akhbar alternatif Harakah, akhbar tersebut ada memberi penjelasan yang mendalam tentang kajian makmal yang dijalankan terhadap sampel air. 



Isu Penapis Air 1Malaysia Satu Permainan Politik?

Selain itu, akhbar alternatif Harakah juga ada mendakwa bahawa Projek Penapis Air 1Malaysia di Padang Tok La difahamkan akan dibina berhampiran rumah Ketua UMNO Pasir Mas, Dato’ Hanafi Mamat. Menurut akhbar itu lagi, meskipun projek berkenaan di bawah peruntukkan kerajaan pusat iaitu sebanyak RM 2 juta, namun perkara ini mempunyai kaitan secara langsung dengan United Malays National Organization atau lebih dikenali sebagai UMNO. Walau bagaimanapun, menurut akhbar Utusan Malaysia pula, presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Azmi Ali telah menidakkan dakwaan kononnya alat penapisan air tersebut dipasang berhampiran rumah pemimpin UMNO tersebut. Hal ini kerana pemasangan alat penapis air tersebut adalah berdasarkan kepada lokasi yang mempunyai sumber bekalan air kekal.

Sumber.

2. Akhbar alternatif Harakah. 3-6 September 2012.







Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

Pelaporan Isu Penternakan Khinzir Mega di Kampung Tumbuk, Kuala Langat, Selangor Melalui Blog dan Malaysia Kini.


Apakah konsep kumbahan najis khinzir?

       Konsep bagi kumbahan najis khinzir adalah dapat disimpulkan sebagai pembuangan najis khinzir. Najis-najis ini akan disalurkan ke pantai yang di mana tempat berkelah untuk masyarakat.

Tujuan isu ini dikupas untuk…

       Untuk mengetahui sejauh mana isu penternakan khinzir dapat mendatangkan keuntungan kepada negara, sekali gus menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

      Penternakan khinzir ini telah di jalankan Di Kampung Tumbuk, Kuala Langat, Selangor. Oleh hal yang demikian, najis-najis khinzir ini dialirkan ke Pantai Morib tersebut. Pengaliran najis khinzir ini akan menyebabkan air pantai tersebut menjadi kehitaman sekali gus menyebabkan pencemaran air.


          Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di Selangor dan ia memenuhi piawai kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

         Daripada beberapa sumber bahan buangan atau kumbahan najis khinzir ini akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Ini mewujudkan persoalan adakah sebenarnya…
          Kumbahan najis khinzir ini akan mendatangkan pencemaran air atau kumbahan ini dapat guna dengan cara teknologi iaitu dalam bentuk biogas. Sekiranya ia dapat digunakan semula dalam bentuk biogas, sejauh mana keberkesanan sistem teknologi biogas ini dalam mencegah berlakunya pencemaran air? 
Oleh hal yang sedemikian, ramai masyarakat tidak berpuas hati dengan pembinaan ladang penternakan khinzir ini. Walaupun masyarakat berhak bersuara tetapi suara masyarakat tersebut tidak diambil kira dan tidak dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap isu ini. 








Manfaat isu penternakan khinzir
          Manfaat juga turut dijelaskan dalam isu penternakan khinzir seperti dapat memperoleh keuntungan atau menjana ekonomi.

Kesan-kesannya
1.      Mencemarkan alam sekitar seperti pencemaran air akibat daripada pengaliran kumbahan najis khinzir.
2.  Mendatangkan penyakit bawaan. Sebagai contoh, akan wujudnya virus H1N1. Ini sangat membahayakan kesihatan para penduduk yang berada di kawasan itu.


            Menerusi blog-blog apa yang dapat dilihat adalah rakyat negeri Selangor seakan-akan membantah projek ini kerana ia menyebabkan berlaku pencemaran air, manakala menurut akhbar alternatif seperti Malaysia Kini, projek ini diteruskan selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar. Keputusan kerajaan negeri meluluskan projek penternakan khinzir yang berskala besar perlu difikirkan semula kerana ia sebenarnya tidak memberi manfaat kepada semua rakyat. Sebaliknya kelulusan projek ternakan yang kononnya berteknologi Jerman itu hanya mengundang kemarahan rakyat terutamanya di daerah Sepang majoritinya tidak mahu projek itu  dilaksanakan di kawasan mereka. Ini kerana daerah berkenaan terdiri daripada kira-kira 86,000 penduduk majoriti adalah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

         Di sini wujudnya persoalan kenapa Kerajaan Negeri Selangor seakan-akan memandang enteng terhadap suara dan pandangan yang dikemukakan oleh rakyat negeri Selangor khususnya penduduk Kampung Tumbuk, Kuala Langat.

         Secara konklusi, penternakan khinzir ini mungkin boleh mendatangkan keuntungan kepada negara, tetapi dalam masa yang sama ia turut mengundang kepada pencemaran alam sekitar seperti pencemaran air. Peranan teknologi kini seperti media yang menyebarkan tentang isu penternakan khinzir ini turut membantu masyarakat dalam mengetahuinya. Dengan itu, masyarakat tidak akan tertanya-tanya kenapa isu ini terjadi disebabkan tersebarnya berita di dada akhbar dan internet.

Sumber. 







Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

Artikel Akhbar Arus Perdana dan Alternatif Mengenai Kesan Korek Pasir di Negeri Selangor yang Menimbulkan Kesan Negatif kepada Alam Sekitar.


Apakah itu Pengorekan Pasir??




Seperti yang dilihat di dalam gambar inilah aktiviti yang dimaksudkan sebagai pengorekan pasir di mana pasir-pasir diambil secara haram tanpa kebenaran daripada pihak tertentu sama ada dari sungai, pantai atau laut.

Akhbar Arus Perdana: Berita Harian

Berita harian melaporkan keadaan tentang pengorekan pasir yang berlaku di Selangor dari segi beberapa aspek, pertamanya, pelaporan berita harian melaporkan peranan badan alam sekitar di Selangor iaitu KKSB (Kumpulan Semesta Sdn. Bhd) yang telah menyebabkan kerajaan negeri Selangor telah kerugian hampir 30juta.(Berita harian,18/7/2010). Sementara itu dalam pelaporan berita harian mengenai aktiviti pengorekan di Selangor telah membuatkan Perdana menteri Dato’ Seri Najib juga  turut menyuarakan rasa bimbang mengenai hal ini beliau berkata kerajaan Selangor perlulah melakukan pemantauan lebih awal mengenai kegiatan pengorekan pasir ini agar tidak membuatkan ekosistem di kawasan berlakunya pengorekan pasir mengalami penjejasan yang teruk. (Berita Harian,15/07/2010).

            Bagi pihak penduduk setempat pelaporan di berita harian melaporkan bahawa kegiatan pengorekan pasir yang berlaku di Semenyih, Sepang, Selangor telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap penduduk kampong di kawasan itu terutamanya kampong Sungai Buah. Masalah yang timbul daripada  kegiatan pengorekan pasir di situ adalah dari faktor keselamatan kanak-kanak dan juga faktor kebersihan di kawasan tersebut yang pastinya menyebabkan persekitaran alam sekitar di kawasan itu mengalami pencemaran alam yang teruk melalui pelaporan Berita Harian ini. Tambahan lagi sikap pemandu lori pasir yang memandu laju ketika menggunakan jalan di situ menjadi satu kebimbangan kepada kanak-kanak sekolah yang melintas daripada laluan sekolah. (Berita Harian,13/07/2010) 

Pemberitaan mengenai pengorekan pasir di Selangor menerusi pelaporan berita media alternatif (Malaysia Kini)

            Manakala pelaporan dalam pelaporan media alternatif iaitu Malaysia Kini pula mengatakan komen daripada Menteri Besar Selangor sendiri dalam menyatakan pendirian Beliau tentang isu pengorekan pasir ini. Dalam pelaporan yang bertarikh 11 Februari 2012 Dato’ Seri Khalid memberitahu bahawa isu pengorekan pasir ini adalah isu lapuk. Perkara ini dinyatakan oleh Beliau kerana perkara pengorekan pasir ini hendak dibawa kepada pihak pencegahan rasuah untuk disoal siasat dan juga mempunyai nilai menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar negeri Selangor.

            Hal ini lebih berkaitan dengan isu politik dan isu menjatuhkan nilai peribadi seseorang individu. Pihak ini menuding jari terhadap pihak ini dan di sebelah pihak lagi menuding jari kepada pihak ini jika dilihat perbezaan pelaporan dalam arus media perdana dan juga media alternatif. Dan lebih mencerahkan tentang isu politik bukannya menceritakan bagaimanakah pengorekan pasir ini menjejaskan alam persekitaran di negeri Selangor khususnya.

            Selain itu dalam pelaporan Malaysia Kini yang bertarikh 10 julai 2012, yang bertajuk “Kes curi pasir di Selangor telah berkurang” menerangkan statistik yang telah dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar negeri Selangor sendiri iaitu Dato’ Seri Khalid Ibrahim yang telah menyatakan bahawa 974 tangkapan terhadap orang yang terlibat melakukan pengorekan pasir pada tahun 2008.Pada tahun 2009 sebanyak 159 kes,91 kes pada 2010 dan pada 2011 sebanyak 91 kes.Ini menunjukkan kerajaan negeri Selangor mengambil serius mengenai aktiviti pengorekan pasir yang banyak mengganggu alam sekitar dan penduduk setempat tidak seperti yang didapati dalam pelaporan yang dilakukan oleh media arus perdana.

Kesimpulannya

            Jika dilihat kedua-dua akhbar sama ada arus perdana dan juga alternatif terdapatnya jurang perbezaan mengenai kedua-dua saluran ini dalam melaporkan mengenai aktiviti pengorekan pasir di Negeri Selangor ini. Jadi terpulang kepada pembaca menilai kepentingan dalam menjaga alam sekitar yang dititikberatkan oleh kedua-dua saluran pemberitaan ini. Sama ada hanya mementingkan tentang politik seseorang, ataupun memang benar-benar ingin membanteras kegiatan yang mampu merosakkan alam sekitar.

Sumber

1. Berita harian online

Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda

Monday, 26 November 2012

Isu Tebus Guna Tanah di Bayan Mutiara, Pulau Pinang.


Tanah ialah satu keperluan yang penting bagi manusia. Kekosongan tanah yang tidak diterokai di negeri Pulau Pinang amat terhad. Oleh itu, tebus guna tanah amat digalakkan oleh kerajaan Pulau Pinang. Malangnya, terbitan tentang isu-isu tebus guna di akhbar-akhbar harian amat membimbangkan, yang didapati hanya tajuk-tajuk yang sedemikian:
       Guan Eng harus beri penjelasan penjualan tanah Bayan Mutiara (Berita Harian); Tapak masjid: Pemenang tunggu penjelasan Guan Eng (Utusan Online).
Berdasarkan tajuk di atas, kita boleh dapati bahawa fokus media terhadap isu-isu tebus guna tanah bukan sekadar tentang kepentingan dan kegunaannya terhadap masyarakat dan alam sekitar. Sebaliknya, fokusnya ialah kepada siapa yang akan memilikinya.
Apakah cerita sebenarnya tentang tanah Bayan Mutiara sehingga melibatkan parti politik untuk campur tangan dalam isu ini? 


Apakah keistimewaan Bayan Mutiara sehingga menjadi perebutan dua parti politik?
Berdekatan dengan:
  1. Jambatan Pulau Pinang.
  2. Zon Perdagangan Bebas Pulau Pinang.
  3. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Mengikut pelaporan media mainstream.
  1. Penjualan tanah yang seluas 41.6 hektar ini  kepada syarikat Ivory Properties Group Berhad ( RM1.1 bilion) dikatakan tidak rasional dengan cara yang tidak telus (tender terbuka).
  2. Penang Development Corporation (PDC) yang merupakan pemilik tanah mempunyai kepakaran serta pengalaman sepatutnya membangunkan tanah Bayan Mutiara.
  3. Jika tanah itu dimajukan secara berperingkat, dipercayai harganya akan melambung sehingga RM10 bilion tetapi kerajaan telah menjualnya dengan harga RM1.1 bilion.
  4. Membolehkan syarikat berkenaan untuk membayar secara berperingkat sehingga lima tahun.
  5. Tercetusnya isu penswastaan Penang Port. 

Menurut pelaporan media Alternatif:
  1. Apabila tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar (67.5 ekar tanah dan 35 ekar tanah tebus guna melalui tambak laut) dijual melalui tender terbuka pada tahun 2010, harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi telah ditetapkan.
  2. Harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi ini telah ditetapkan oleh kerajaan negeri pada 7 April 2010 sungguhpun Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan pada 5 November 2009 menganggarkan harga penilaian adalah sebanyak RM65 kaki persegi.
  3. Apabila tender terbuka yang dijalankan ditutup pada 31.12.2010, harga tender terbuka yang paling tinggi adalah sebanyak RM240 kaki persegi atau RM1.07 bilion.

Apakah sebenarnya tebus guna tanah? Mengapakah masalah ini menjadi rumit?

            Sebenarnya tebus guna tanah merupakan satu aktiviti menjadikan tanah yang terbiar kepada tanah yang produktif supaya tidak membazirkan sumber-sumber yang ada.

         Bukan semua kawasan sesuai untuk ditebus guna, sebaliknya kawasan-kawasan seperti bekas perlombongan, tanah paya atau persisiran pantai seperti Pulau Pinang. Aktiviti tebus guna tanah adalah penting sebagai satu alternatif bagi menyediakan bekalan bank tanah yang cukup untuk tujuan pembangunan dan memenuhi permintaan tanah yang tinggi khususnya di Pulau Pinang.

 Sebagai contohnya, pada tahun 2000, seluas 446 hektar kawasan di selatan jabatan di sepanjang pesisir Pantai Timur Pulau hingga ke Bayan Baru dan Batu Maung telah ditambak untuk tujuan perdagangan (Bayan Bay).

Di sebalik kebaikan…..?

            Aktiviti tebus guna tanah juga membawa kesan negatif terhadap alam sekitar seperti pencemaran udara, bunyi dan air. Dalam proses penebusan tanah, banyak jentera digunakan untuk menanamkan cerucuk-cerucuk besi di dalam tanah serta aktiviti-aktiviti pembinaan yang lain juga turut menyumbang kepada pencemaran bunyi. 


           Pada hakikatnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling mengehadkan maksimum yang dibenarkan bagi kawasan Bandar yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi adalah 65 desibel (dBA) untuk waktu siang dan 60 dBA untuk waktu malam.

          Selain itu, hakisan pantai dan kemusnahan sumber alam sekitar juga terjadi apabila penambakan laut (seperti Bayan Mutiara) dijalankan.

           Projek penambakan memerlukan bahan timbus (lazimnya pasir) dan proses pengorekan bahan timbus tersebut.

           Pasir laut dikorek dan kemudian dipindahkan ke tempat penambakan untuk kerja-kerja penimbusan. Bagaimana pula hidupan marin dalam laut selepas “rumah” ditimbus? Sebagai contoh, pihak Singapura mengambil pasir dari Malaysia atau Indonesia, diangkut dan kemudiannya ditimbus di Pulau Tekong. Menurut Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL), Prof. Dr. Abdul Aziz Ibrahim, kerja pengorekan pasir laut di lokasi yang sensitif (dari sudut perikanan) akan mendatangkan kesan negatif.

            Kerja penambakan di lokasi yang sensitif contohnya di kawasan bakau, berhampiran pelabuhan juga mendatangkan masalah. Penambakan laut menyebabkan kematian hidupan marin secara besar-besaran, seterusnya mengganggu ekologi semula jadi.

Adakah isu ini berlaku tanpa sebab tertentu?

         Tiada satu isu berlaku semata-mata tanpa sebab yang tertentu. Konteksnya harus diambil kira pengajian sesuatu isu, supaya kesimpulan yang cetek dan tidak rasional dapat dielakkan.

            Sangat dukacita bahawa kesan negatif isu tebus guna tanah Bayan Mutiara terhadap alam sekitar bukanlah topik penting yang harus diutamakan dalam berita dan laporan dari media seperti surat khabar, laman web, radio dan televisyen. Malah apa yang diberi keutamaan daripada pihak media ialah tentang siapakah pemilik tanah tersebut dan bagaimanakah pemilik itu mengendalikan tanah tersebut? Oleh itu, dari sini kita dapat melihat siapa yang memiliki teknologi komunikasi maka teknologi ini akan dijadikan alat baginya untuk kepentingan individu-individu tertentu. 

Sumber

1. Utusan Malaysia Online

2. Berita Harian
3. Sinar Harian
4. Tesis UTM
5. Merdekareview
6. Mutiara








Terima kasih kerana sudi membaca. Sila tinggalkan komen anda